Di suatu petang yang sangat nyaman dan tenang, si kakak membawa adik kecilnya berjalan ke taman permainan berhampiran dengan rumah mereka.
Si adik yang berusia dalam lingkungan umur lima tahun kelihatan sangat gembira memandangkan sudah sekian lama si kakak tidak membawanya ke taman itu. Maklumlah, kakaknya baru sahaja dapat pulang bercuti.
Seperti biasa, si adik meminta kakaknya mengayunkan buaiannya. Si kakak menurut sahaja sambil mengayunkan buaian itu sedikit laju tetapi dengan penuh berhati-hati agar si adik tidak terjatuh. Sedang si kakak dan si adik sedang bercerita sambil bermain buaian, kelihatan sekumpulan anak muda ingin menaikkan layang-layang mereka di padang bersebelahan dengan taman permainan itu.
Si adik meminta si kakak membawanya melihat layang-layang itu. Dengan penuh sabar melayan telatah si adik, dia memimpin tangan adiknya menuju ke sebuah pohon yang rendang di tepi padang itu. Kelihatan layang-layang itu terbang tinggi sekali. Lama juga bertahan, namun tidak lama selepas tu, ia terus jatuh menyembah bumi. Layang-layang yang jatuh itu dinaikkan semula, dan juga dapat bertahan lebih lama daripada sebelumnya.
Adik : Cuba kakak tengok layang-layang tu. Cantik kan?
Kakak : Cantik. Tapi kan adik, walaupun ianya terbang tinggi, takkan kekal lama tau. Sebabnya nanti apabila angin sudah tiada, layang-layang itu akan jatuh. Sama juga macam kita.
Adik : Kita? Kakak dan adik ke? Tak sama pun.
Kakak : Hehe. Bukan camtu adik. Layang-layang itu ibarat seperti kita, manusia yang ada di muka bumi ini. Dalam hidup ini, ada masanya apabila kita ada semua benda yang kita nak, macam keluarga yang bahagia, kawan-kawan yang baik, makanan yang sentiasa sedap dan cukup, badan yang sihat, duit yang cukup, ilmu yang banyak, dan semua yang terbaik, kita akan berasa kita sentiasa berada di atas. Maknanya, kita akan rasa kita sentiasa berada dalam keadaan yang sangat selesa. Adakalanya, kita tak terasa yang semua benda ni mungkin bukan lagi akan jadi milik kita satu hari nanti.
Adik : Oh, tapi apa kaitannya dengan layang-layang kakak?
Kakak : Layang-layang, kalau tak ada angin bertiup, atau mungkin layang-layang tu tak sesuai untuk terbang, susah nak naik tinggi macam tu (jari menunjuk ke arah layang- layang yang tinggi). Tai, apabila angin tak ada, ataupun ada bahagian dia yang rosak, akan terjatuh juga. Cuba adik bayangkan diri adik yang sihat macam ni, dan tiba-tiba adik demam. Adik rasa adik mampu tak nak pergi ke tadika?
Adik : Kalau adik demam, mestilah tak boleh. Kalau adik demam, nanti adik muntah kat tadika. Kesian cikgu kena basuh muntah adik, jadi lebih baik adik duduk kat rumah sebab Abah dan Mak boleh jaga adik. Mak boleh bagi adik makan ubat dan bila adik dah sihat nanti baru adik pergi sekolah balik. Hehe.
Kakak : Wah, pandailah adik kakak ni! Layang-layang kan, apabila ia terkoyak, ia akan jatuh. Tapi apabila sudah dibaiki, boleh je nak naikkan semula. Apa yang kakak nak cerita, dalam hidup ni, dari kita kecil sampai dah dewasa, pasti akan ada susah dan senang. Akan ada jatuh dan bangun. Apabila kita rasa senang dan selesa, kita kena ingat yang semua itu adalah pinjaman sahaja. Boleh jadi apabila tiba masanya, pinjaman ini akan ditarik balik.
Tetapi, dengan keyakinan kita yang kuat terhadap Tuhan kita, Insya-Allah segala perkara yang kita rasa susah, akan dipermudahkan. Dalam hidup ini, kita diuji dengan kesusahan bukan kerana Tuhan tak sukakan kita, tetapi sebab Tuhan sayangkan kita. Dia mahu kita lebih kuat untuk meneruskan amalan-amalan kita di dunia ini sebagai bekalan di dunia satu lagi nanti. Seperti Mak marahkan kakak dan adik bila kita buat salah, bukan kerana benci tetapi kerana sayangkan dan nak kita jadi lebih baik.
Si adik sudah pun terlentok dan meletakkan kepalanya di lengan si kakak. Mungkin terlalu asyik mendengar kakaknya bercerita, dan juga mungkin kepenatan bermain. Si kakak hanya tersenyum tatkala melihat adiknya yang manja itu sudah pun terlena. Dibelainya rambut adik yang nipis itu sambil matanya masih lagi tertumpu kepada layang-layang yang masih terbang di langit.
“Adik... adik masih terlalu kecil untuk mendengar semua ini. Namun, kakak berharap agar apa yang kakak cakapkan ni, tersemat dalam ingatan adik sehingga adik besar dewasa. Jangan risau, apabila adik sudah besar nanti, kakak akan ulang kisah ini untuk adik meskipun pada masa tu tiada layang-layang di langit. Kakak janji, insya-Allah”. Si kakak bermonolog sendirian.
Anak-anak muda yang main layang-layang tadi sudah pun menurunkan layang-layangnya. Si kakak pula mengangkat si adik yang terlentok itu pulang ke rumah. Si ibu tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat si adik yang manja itu. Namun, memandangkan Maghrib sudah hampir masuk waktunya, si adik dikejutkan daripada lenanya. Mata si adik masih lagi terkebil-kebil, tetapi di bibirnya terukir senyuman yang sangat manis.
“Kakak...nanti kan, kakak cerita lagi ye pasal layang-layang tadi? Adik tertidur. Tak dengar habis tadi”, pinta si adik.
Kakaknya hanya mengangguk tanda setuju. Ibu bertanya tentang layang-layang melalui ekspresi mukanya, dijawab dengan kenyitan mata dan senyuman oleh si kakak tadi. Berlalulah sebuah petang yang indah dengan kisah di sebalik layang-layang.
mantap blog nya kak
ReplyDeletethanks..
ReplyDeletejgn lpe follow yer..